.

Warung Kuning Kota Kuala Muda


Menu yang disediakan tidak ada yang istimewa dan ianya sama seperti yang terdapat di tempat lain namun siapa sangka Warung Kuning Kota Kuala Muda yang bersempadan dengan negeri Kedah mempunyai 'taring' tersendiri untuk menarik pengunjung.

Ketika meneliti struktur kedai makan itu, konsepnya seratus peratus seperti warung kampung yang ia dibina ditepi jalan dan hanya menggunakan kayu,papan,paku dan zink.

Namun begitu, ia tidak menjadi masalah bahkan pelanggan melihat senibina dan konsepnya sangat lain ditambah dengan menu yang menggunakan nama pelik tetapi unik.

Anak bongsu kepada pemilik warung berkenaan, Nur Diyana Azahar, 20 terpaksa melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang ahli perniagaan selepas berhenti dari mengikuti pengajian diploma perniagaan tahun lalu demi membantu perniagaan keluarga.

Bagaimanapun, katanya, dia masih boleh mempelajari selok belok perniagaan melalui perniagaan bapanya, Azahar Mohd Saman,52 yang sudah enam tahun membuka warung makanan itu.

" Ayah tidak berapa sihat untuk menguruskan perniagaan sendiri, disebabkan itu dia memerlukan anak-anaknya menjadi tulang belakang untuk dia terus menjalankan perniagaan keluarga ini.

"Saya tidak menolak kerana ayah berusaha bertungkus lumus untuk menghidupkan perniagaan ini yang mana sebelum ini ayah hanya pemandu teksi dan mahu memberikan kehidupan selesa kepada keluarganya dengan membuka warung ini," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.



Menceritakan permulaan perniagaan keluarganya, Nur Diyana berkata ayahnya, Azahar Mohd Saman dan ibunya, Zauriah Salleh masing-masing berusia 52 tahun ketika itu hanya membuka warung kecil yang mempunyai empat meja kecil yang kini bertambah lebih 20 meja.

"Ketika itu hanya tempoh percubaan dan konsepnya lebih kepada warung kedai kopi namun siapa sangka ia berubah selepas abang saya yang ketika itu menjual burger di warung ini memiliki banyak idea untuk menarik pelanggan.

"Selepas melihat abang membuat burger bersaiz besar dan tinggi, ketika itu pelanggan mula meminta ditambah air yang dibuat kami juga unik kerana kesemua air yang dibuat kami adalah konsep tarik," katanya.

Jelas Nur Diyana, kesemua menu dan nama makanan di situ semuanya diberikan pelanggannya kerana sudah menjadi prinsip perniagaan keluarganya yang sentiasa mengutamakan pelanggan.

Antara menu yang menarik perhatian pelanggan ketika mengunjungi warung itu adalah Burger Leleh atau Banjir dari saiz kecil hingga besar, Air Bandung Gunung Berapi, Milo Ais Karat, Teh Tarik Dangdut dan Air Bandung Meletup.

Selain itu, warung yang beroperasi dari jam 4 petang ke 11 malam setiap Isnin hingga Ahad kecuali Khamis itu turut memukau pelanggan dengan hidangan Char Kuey Teow dan Kuey Teow Kerang yang dimasak penduduk tempatan.

"Tiada menu yang istimewa dan semuanya biasa sahaja tetapi mungkin keunikan itu yang membuatkan pelanggan sentiasa datang hingga perlu membuat tempahan awal melalui telefon.

"Kami tidak pernah mempromosikan warung ini kepada semua tetapi berterima kasih kepada pelanggan yang setiap kali mengambil gambar dan mempromosikannya hingga pelanggan dari Kuala Lumpur turut bertandang ke warung kecil kami ini," katanya.

Harga burger yang menarik perhatian pelanggan itu juga berpatutan apabila ia dijual dari RM2.70 untuk burger biasa hingga RM8 bagi burger bersaiz triple.

Bagaimanapun, Nur Diyana dan keluarganya berharap pelanggan dapat memahami servis yang ditawarkan.

"Biasalah dalam perniagaan terdapat banyak sangat rungutan daripada pelanggan tetapi itu sudah menjadi adat dan bagi kami pelanggan adalah keutamaan kerana jika tiada pelanggan siapa yang akan membeli jualan kami.

"Namun, kami berharap pelanggan memahami sekiranya berlaku kelewatan pada servis yang mana pekerja kami kurang dan kami mahu menghidangkan makanan terbaik kepada pelanggan supaya semuanya berpuas hati," katanya.

Pelan Lokasi untuk ke Warung Kuning Kota Kuala Muda
-susur keluar Plaza Tol Bertam Kepala Batas ambil kanan dan terus hingga ke Pekan  Lama Kepala Batas.
-Apabila menemui simpang lampu isyarat ambil ke kanan untuk ke Penaga
-Teruskan perjalanan hingga menemui Jalan Permatang Bendahari
-Di lampu Isyarat Permatang Bendahari teruskan lagi perjalanan hinga menemui satu jambatan  dan dibawahnyaakan ternampak sebuah warung berwarna kuning di bahagian kiri jalan.
Previous
Next Post »
widgets
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :