KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengutamakan pelajar miskin dalam pemberian biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tertentu di luar negara pada masa depan.
Perwakilan dari Kelantan, Datuk Abdullah Mat Yassin, berkata perkara itu perlu berikutan ramai pelajar Malaysia terutama mereka berasal dari keluarga miskin kini mengeluh kerana sukar mendapat biasiswa kerajaan.
Beliau berkata, walaupun kerajaan meluluskan peruntukan RM1 bilion bagi membiayai pengajian pelajar Malaysia di luar negara pada tahun lalu, namun hingga kini dana berkenaam masih belum dapat dimanfaatkan oleh golongan terbabit.
"Oleh itu saya berharap kerajaan akan memberikan keutamaan kepada pelajar daripada keluarga miskin untuk mendapat pembiayaan biasiswa atau pinjaman pendidik bagi membolehkan mereka meneruskan pelajaran masing-masing di luar negara.
"Perkara ini perlu kerana kebanyakan pelajar daripada keluarga miskin tidak mampu mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan atau bank berikutan kadar faedah dikenakan adalah terlalu tinggi," katanya membahaskan usul ekonomi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu Abdullah juga minta kerajaan menaikkan elaun pembantu tabika Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan guru kelas agama dan fardu ain (KAFA) kerana jumlah sedia ada adalah terlalu rendah berbanding peningkat kos sara hidup.
"Ketika ini elaun pembantu tabika KEMAS adalah hanya RM400 manakala guru KAFA pula mendapat RM300 sebulan. Jumlah itu adalah sangat kecil berbanding tugas mereka memberikan pendidikan sempurna kepada anak muda kita.
"Jadi perwakilan UMNO Kelantan berharap kerajaan akan menaikkan kadar elaun pembantu tabika KEMAS dan guru KAFA menjadi sekurang-kurangnya RM500 sebulan pada masa depan," katanya.