.

Suasana pilu iringi rakyat Johor

www.azlindaalin.com
JOHOR BAHARU: Suasana pilu menyelubungi Bilik Singgahsana, Istana Besar di sini, apabila orang ramai mula berkumpul untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim. Rakyat Johor dan orang ramai mula berbaris di luar perkarangan Istana Besar sejak jam 9 pagi tadi bagi upacara berkenaan. 

Orang awam dibenarkan melawat jenazah dari pukul 9 pagi sehingga 11.30 pagi, sementara orang kenamaan dibenarkan melawat dari pukul 11.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Mereka yang hadir dilihat mematuhi kod etika berpakaian dengan wanita Islam mengenakan baju kurung putih dan kain batik serta bertudung putih sementara lelaki Islam, mereka mengenakan baju Melayu teluk belanga berdagang luar putih, kain samping hitam dan songkok lilitan jalur putih. 

Sementara lelaki bukan Islam mengenakan pakaian baju dan seluar hitam, tali leher dan toha hitam di lengan kiri manakala wanita bukan Islam memakai baju dan seluar sopan dan toha hitam di lengan kiri atau tudung hitam. Pegawai istana dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditugaskan di perkarangan istana bagi mengawasi tingkah laku, ketertiban dan etika pemakaian orang ramai. 

Orang ramai diberikan tempoh kira-kira seminit untuk memberikan penghormatan terakhir serta mensedekahkan Al-Fatihah. Keranda baginda yang dilitupi bendera Jalur Gemilang dengan topi polis dan pedang di atasnya diletakkan di tengah-tengah Bilik Singgahsana. Bersebelahan keranda itu, sekumpulan lelaki dari Jabatan Agama Islam Johor membacakan ayat-ayat suci al-Quran. 

Sementara itu, seorang warga emas, Fatimahzahrah Abdul Ghani, 69, antara rakyat negeri ini yang turut tidak ketinggalan menziarahi jenazah Tunku Abdul Jalil. Fatimahzahrah yang menaiki bas seorang diri, berkata Almarhum adalah kerabat raja yang berjiwa rakyat dan kali terakhir dia bertemu Tunku Abdul Jalil ialah pada sambutan rumah terbuka Aidilfitri di Istana Pasir Pelangi dan sempat bersalam-salaman dengan Almarhum. "Saya berkunjung ke rumah terbuka di Istana Pasir Pelangi setiap tahun sejak 1997. 

Tetapi, kunjungan tahun ini paling bermakna dan memberi kenangan kerana itu adalah pertemuan terakhir dengan Almarhum," katanya. Sementara itu, bendera Johor dikibarkan separuh tiang di setiap bangunan kerajaan sebagai menghormati kemangkatan Tunku Laksamana Johor. - BERNAMA
Previous
Next Post »
widgets
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :