Seorang remaja maut selepas tertikam dengan keris ketika membuat pertunjukan silat dalam satu majlis perkahwinan di Kampung Patau-Patau di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Mohd Amil Zulkarnain, 17, mengalami luka di bahagian dada dan dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk rawatan.
Beliau disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di jantung yang menyebabkan pendarahan yang banyak. Pemangku Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada pihak hospital jam 1.23 tengah hari semalam. Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tertikam oleh sepupunya sendiri berumur 17 tahun .