Populariti Jeruk Madu Pak Ali kini dilihat semakin gah apabila jeruk itu mula diminati golongan muda yang mana sebelum itu hanya dikenali di peringkat golongan yang berusia.
Perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah Urusan Pak Ali Food Industries Sdn Bhd, Alias Ali yang mengambil alih sepenuhnya perniagaan yang ditinggalkan bapanya, Allahyarham Ali Omar yang meninggal dunia pada Mac lalu.
Alias berkata, ketika jeruk itu memasuki pasaran lima tahun lalu didapati kelompok pembeli lebih daripada peringkat golongan berusia walaupun jeruk berkenaan didatangkan dengan konsep 'Jeruk Makan Sihat'.
Ini kerana, katanya selain dimakan begitu sahaja, Jeruk Madu Pak Ali kini mula dieksploitasi dalam bidang masakan apabila ada yang memakannya dengan mayonis, koktail dan ais kisar.
"Pada mulanya memang diakui peminat jeruk ini lebih kepada golongan yang berusia hingga kita melakukan pelbagai cara dari segi pemasaran untuk menarik golongan muda mencuba merasai jeruk yang lain daripada lain ini.
"Ia dijadikan cabaran untuk kita dalam menarik golongan muda meminati jeruk ini dan ternyata usaha memasarkan produk jeruk ini secara habis-habisan membuahkan hasil apabila kebanyakan premis yang menjual jeruk ini banyak dikunjungi golongan muda," katanya.
Menceritakan mengenai perniagaan yang diceburi, Alias berkata arwah Pak Ali seorang yang buta huruf namun kecekalan ditambah dengan usaha yang tidak berhenti menjadikan perniagaan jeruk madu mula dikenali.
Katanya, walaupun beliau hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun arwah bapanya tetap memberikan kepercayaan kepadanya untuk meneruskan perniagaan itu supaya penduduk tempatan sekitar Simpang Ampat, Tasek Pulau Pinang mempunyai pekerjaan.
"Apa yang lain tentang jeruk ini, kita tidak langsung memotong buah menggunakan mesin kerana arwah sendiri sudah berpesan keaslian rasa buah berkenaan akan hilang sekiranya menggunakan mesin.
"Selain itu, ia juga adalah amanat arwah yang mahu membantu penduduk tempatan memiliki pekerjaan yang tidak jauh dari rumah mereka," katanya.
Menurut Alias, dari tiga orang pekerja kini Pak Ali Food Industries Sdn Bhd memiliki lebih 120 pekerja yang terbabit dalam bahagian memotong buah dan mengendalikan bahagian teknikal.
"Pekerja-pekerja ini yang berada ketika susah senang bersama arwah Pak Ali dahulu dan saya perlu meneruskan amanat yang ditinggalkan untuk menjaga kebajikan pekerja.
"Saya juga menafikan uru ara selepas kematian arwah perniagaan ini diambil alih oleh orang lain kerana sejak dulu saya mempertahankannya," katanya.
Hasilnya, jeruk madu yang dihasilkan menggunakan air gula yang sudah dimasak dan cuka epal itu mendapat permintaan yang tinggi hingga menembusi pasaran Asia Tenggara dan Asia Tengah.
"Penggemar jeruk menyukai Jeruk Madu Pak Ali kerana rasanya dan sesiapa yang memakan jeruk ini tidak akan berasa batuk bahkan airnya dapat diminum manakala buah-buahan jeruk ini juga dapat dijadikan bahan dalam masakan," katanya.
Selain itu Jeruk Madu Pak Ali turut merancang untuk mengeluarkan sebanyak 1200 tan jeruk dari pelbagai buah dan terbaru adalah buah zaiton dan rebung.
"Permintaan jeruk dari buah mangga amat menggalakkan bagaimanapun kita turut mencari buah-buah yang hampir pupus seperti buah asam berenda serta buah lain yang jarang digunakan untuk membuat jeruk terutamanya zaiton dan rebung," katanya.
Info ke Muzium Pak Ali
-Susur keluar Plaza Tol Bukit Tambun arah Utara dan Selatan
-Ambil kiri dan teruskan perjalanan hingga menemui sebuah masjid.
-Ketika tiba di sebuah masjid ambil kiri dan menemui lampu isyarat masuk ke kanan.
-Teruskan perjalanan dan anda akan menemui papan tanda arah ke Muzium Pak Ali.
-Teruskan lagi perjalanan kemudian anda akan menemui papan tanda ke Muzium Pak Ali di bahagian kanan.