.

Fahmi Zainol - Malaysia tidak matang demokrasi


KUALA LUMPUR: Malaysia ialah sebuah negara yang demokrasinya belum matang lagi, tetapi ia masih mempunyai ruang dan peluang untuk mencapainya.

Ini pendapat aktivis pelajar, Fahmi Zainol, semasa mengulas mengenai salah satu cabaran wawasan 2020 iaitu untuk ‘mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang.’

Fahmi berkata Malaysia belum matang kerana kita masih dapat lihat ketidakadilan dalam sistem kehakiman, fitnah politik, salah guna kuasa polis dan media yang berat sebelah.

“Undang-undang seperti Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan Akta Hasutan, adalah pembantut kepada misi merealisasikan matlamat Wawasan 2020.

“Akta dan undang-undang sebegini diwujudkan atas sebab untuk melenyapkan suara-suara rakyat yang mengkritik, menentang atau menegur kerajaan.

"Akibatnya kerajaan akan terus berkuasa dan mentadbir dengan sesuka hati tanpa mendengar luahan atau kritikan rakyat di bawah.

“Hal ini sangat bertentangan dengan amalan demokrasi yang sihat,” kata Fahmi.

Fahmi turut berkata bahawa rakyat Malaysia kini mempunyai pemikiran yang berbeza tetapi masih berada dalam kategori yang sedang menuju kematangan.

“Ada sesetengah pihak yang sudah maju ke hadapan dengan cara fikirnya, hujah serta fakta. Tetapi ada juga sebahagian masyarakat yang masih dibelenggu dogma emosi, tidak bersuara berdasarkan ilmu dan fakta tetapi berdasarkan emosi, sentimen dan sebagainya.

“Apa yang terbaik adalah jangan berhenti untuk mendidik masyarakat, dengan cara berfikir dan bersuara yang betul. Hal ini terlebih dahulu perlu ditunjukkan oleh para pemimpin kepada masyarakat.

“Sebagai contohnya pemimpin perlu menjawab sesuatu isu rakyat secara ilmiah dan fakta dan bukan memberi alasan bodoh dan memutar belit fakta, menyalahkan pihak lain dan menimbulkan sentimen perkauman,” katanya.

Fahmi berkata walaupun ada cubaan dari kerajaan untuk menyekat suara-suara dari media sosial, terdapat  arus perubahan yang telah mengalahkan usaha-usaha tersebut kerana rakyat kini lebih cenderung untuk mendapatkan informasi dan berkomunikasi melalui media sosial.

“Tidak dapat dinafikan peranan media sosial dalam menjadi ruang demokrasi di Malaysia kerana di sini kita dapat melihat pertembungan secara adil apabila kerajaan dan pembangkang mempunyai ruang dan peluang yang sama rata dalam menyampaikan maklumat.

“Rakyat pula boleh menyuarakan apa jua pandangan mereka tanpa rasa gusar atau bimbang dengan ancaman.”

Fahmi menambah bahawa tidak mustahil budaya demokrasi di negara ini dimangkin oleh media sosial.

Previous
Next Post »
widgets
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :