Real gagal memenangi sebarang trofi utama musim ini, menamatkan saingan La Liga Sepanyol di kedudukan kedua, dua mata di belakang Barcelona dan tewas kepada Juventus di separuh akhir Liga Juara-Juara. Antara sebab lain adalah penyingkiran Real dalam saingan Piala Raja Sepanyol kepada musuh tetangga, Atletico Madrid.
"Saya mengumumkan yang ahli Lembaga Pengarah sudah mengambil keputusan untuk melepaskan Carlo Ancelotti sebagai jurulatih Real Madrid," kata Perez dalam satu sidang media selepas mesyuarat di Santiago Bernabeu. Perez berkata, ia adalah "keputusan paling sukar" kerana selama dua tahun Ancelotti bersama kelab itu, pengendali kelahiran Itali itu sudah mendapat rasa hormat dan "membentuk sejarah baharu kelab kerana bersamanya kami memenangi trofi ke-10 Eropah."
Tidak lama selepas pengumuman Perez, Ancelotti mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial rasminya di Twitter. "Saya akan mengingati tempoh dua tahun yang cemerlang bersama kelab, penyokong dan pemain. Terus berjuang Madrid dan tiada lagi apa-apa," katanya. Ancelotti meraih pujian di Bernabeu selepas Real menewaskan Getafe 7-3 pada perlawanan terakhir La Liga, Sabtu lepas.
Penyerang bintang, Cristiano Ronaldo turut menunjukkan sokongannya terhadap jurulatih terbabit dengan memaparkan gambarnya bersama Ancelotti di akaun Twitter. "Jurulatih yang hebat dan orang yang menakjubkan. Harap kami akan bekerjasama lagi musim depan," kata Ronaldo. Jurulatih Napoli, Rafa Benitez yang pernah menjadi jurulatih pasukan remaja di Real dikatakan antara calon popular menggantikan Ancelotti. - AP