Ipoh: Seorang bapa dan dua anak mengalami cedera parah selepas diserang dan ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di ruang tamu kediaman mereka, di Taman Maju Rapat, di Ipoh hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi itu, bapa yang berusia 47 tahun itu cedera di bahagian belakang badan sementara anak lelakinya, 17, cedera di tangan kiri manakala kaki kanan anak perempuannya berumur 20 tahun hampir putus akibat ditetak.
"Polis percaya lima lelaki itu memasuki rumah mangsa dengan memecah pintu utama dengan menendang kuat sehingga pintu pecah. Mereka sekeluarga dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dengan ambulans," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya tiada barang berharga yang hilang dalam rumah berkenaan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata susulan daripada kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang disyaki teman lelaki anak perempuan mangsa di sekitar bandar raya Ipoh, kira-kira pukul 11.45 pagi tadi, bagi membantu siasatan.
Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Sementara itu, di George Town, seorang lelaki parah ditetak dalam pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Pengkalan Weld awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian pada 3.30 pagi itu, mangsa dilihat berbual dengan sekumpulan lima hingga tujuh orang sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan parang dan menyerangnya.
"Ketika itu dua rakan mangsa yang turut berada di tempat kejadian cuba membantu tetapi leher mereka diacu parang selain diugut akan dipancung,"
katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Komtar hari ini.
Beliau berkata akibat kejadian itu lelaki yang berusia 33 tahun itu cedera di beberapa bahagian badan, tangan dan kepala dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Siasatan awal mendapati mangsa mengenali empat daripada kumpulan lelaki yang menyerangnya dan motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.
"Keadaan mangsa kini stabil dan polis telah mengenal pasti suspek terlibat dan percaya dapat memberkas mereka dalam tempoh terdekat untuk siasatan lanjut," katanya.- Bernama