PUTRAJAYA: Pelaksanaan tambang baharu perkhidmatan bas ekspres dan rel kini ditunda manakala tambang baharu teksi diteruskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.
Beliau berkata, penundaan itu hingga ke suatu tarikh yang belum ditetapkan itu diputuskan mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat lepas.
"Tambang baharu untuk perkhidmatan teksi seperti mana yang telah diumumkan pada 19 Mac akan diteruskan pelaksanaannya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Nancy berkata, keterangan lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di talian 03-27267000 atau emel kecommunications@spad.gov.my.
Khamis lalu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan bahawa tambang teksi dan kereta sewa naik antara 20 hingga 67 peratus manakala tambang bas ekspres naik 22.6 peratus bermula 15 Mei.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudian meminta SPAD menangguhkan pelaksanaan kadar tambang baharu pengangkutan awam itu.
- BERNAMA