Parlimen Britain yang bersidang pada Rabu lalu, telah meluluskan usul untuk membolehkan negara itu menyertai tentera sekutu membedil kedudukan militan Negara Islam (IS) di Syria. Selepas lebih 10 jam usul itu dibahaskan,seramai 323 ahli parlimen menyokong manakala seramai 223 menentang usul serangan udara terhadap kedudukan IS di Syria.
Berdasarkan kelulusan yang diterima, ia membolehkan pesawat pengebom British, Tornado GR4 akan berlepas dari pangkalan udara di Cyprus untuk menyertai misi serangan terbaharu di Asia Barat. Sejajar dengan kemalapan peranan Britain sebagai kuasa dunia, sokongan parlimen terhadap usul itu akan membolehkan Perdana Menteri, David Cameron memperbaiki kedudukan negara itu di peringkat antarabangsa.
Dalam ucapannya, Cameron mendesak ahli parlimen negara itu untuk tidak berundur daripada sekutu mereka, Perancis yang perlukan sokongan dan bantuan. "Britain kini lebih selamat berikutan keputusan yang diambil parlimen," kata Menteri Luar, Philip Hammond kepada Sky News.
Ramai warga Britain bimbang dengan kelulusan parlimen itu akan mengheret negara itu dalam satu lagi kancah peperangan di Asia Barat serta risau berlakunya letupan bom di Perancis berulang lagi. Ramai kalangan anti-perang menyifatkan pembabitan negara barat di Iraq dan Libya sebagai suatu usaha yang gagal sehingga menyuburkan lagi huru-hara di rantau itu. Bagaimanapun, serangan di Paris pada 13 November yang mengorbankan lebih 130 orang menyebabkan ramai ahli parlimen Britain menyokong serangan itu.
Dalam pada itu, di AKROTIRI, Cyprus; Dua pesawat pejuang Britain dilihat berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja British (RAF) di sini, sebaik saja Parlimen Britain meluluskan usul untuk menghantar pesawat perang membedil sasaran IS di Syria. Namun demikian, setakat ini destinasi dua jet berkenaan belum diketahui dan belum ada komen daripada pihak berkuasa British mengenainya. RAF Akrotiri sudah digunakan sebagai pangkalan menyerang sasaran IS di Iraq sejak setahun lalu. Kini, peranannya akan diperluaskan untuk menyerang sasaran IS di Syria. - Reuters