Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata kutipan tol secara elektronik akan dilaksanakan sepenuhnya di 10 plaza tol berkuat kuasa 13 Januari tahun hadapan,
"Tiga plaza tol terlibat terletak di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) iaitu Plaza Tol Salak Selatan, Plaza Tol Putrajaya, dan Plaza Tol Seri Kembangan. Turut terlibat Plaza Tol PJS2, Plaza Tol PJS5 dan Plaza Tol Pantai Dalam yang masing-masing terletak di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) selain Plaza Tol Batu 9 serta Plaza Tol Batu 11 di Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga),katanya".
Beliau juga turut menyatakan bahawa dua lagi plaza tol adalah Plaza Tol Seri Muda dan Plaza Tol Alam Impian yang terletak di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).
Sehubungan itu, katanya pengguna perlu menggunakan sama ada kad PLUSMILES, Touch ‘n Go atau SmartTAG untuk melakukan transaksi bayaran tol di plaza tol terlibat. Dalam memastikan operasi berjalan lancar pihak konsesi lebuh raya menyediakan lorong tambah nilai dan penjualan kad Touch ‘n Go yang beroperasi 24 jam selain turut menempatkan kakitangan untuk membantu jika berlaku masalah.
Orang ramai yang mempunyai sebarang masalah atau pertanyaan, anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi hotline Pusat Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 atau mana-mana pusat khidmat pelanggan lebuh raya yang berdekatan dengannya.