KUALA TERENGGANU: Tindakan pelajar dan guru sebuah sekolah agama dari bandar raya ini mengadakan bacaan yasin dan solat hajat di tepi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), semalam boleh mengundang bahaya. Walaupun ia adalah sesuatu yang mulia dilakukan, tetapi mereka perlu sedar kawasan tersebut tidak sesuai untuk dijadikan tempat untuk menunaikan solat hajat.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, berkata pihak sekolah seharusnya memilih lokasi yang lebih selamat untuk mengadakan sebarang aktiviti. "Niat pelajar dan guru sekolah berkenaan cukup baik kerana ingin mengadakan bacaan yasin dan solat hajat di LPT2 yang kerap berlaku kemalangan sejak kebelakangan ini.
"Namun, mereka sepatutnya perlu lebih peka dan berhati-hati kerana dengan mengadakan program di tepi jalan boleh membahayakan keselamatan mereka," katanya.
PENGARAH Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin. Shafruddin berkata, pihaknya dimaklumkan pelajar sekolah yang mengadakan bacaan yasin dan solat hajat di LPT2 semalam mendapat pengawasan guru dan polis.
Beliau berkata, sekolah berkenaan seharusnya menjalankan aktiviti seumpama itu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berdekatan kerana ia lebih selamat dan selesa.