.

Laksa Udang Iryani buat pelanggan ketagih


Laksa

Sebut sahaja makanan menarik yang akan dicari jika sampai ke Pulau Pinang selain dari nasi kandar, sudah pastinya ramai yang akan menyebut laksa.

Begitulah kehebatan laksa yang terdapat di negeri Pulau Mutiara itu yang mana ia diangkat makanan paling popular dan utama dalam kalangan masyarakat di sini.

Walaupun di seluruh Malaysia menjual pelbagai jenis laksa dan lain daripada lain namun laksa Pulau Pinang juga yang dipilih kerana dikatakan ada tarikan tersendiri hingga membuatkan sesiapa sahaja menjadi ketagih.

Cucur Udang

Berkunjung ke kawasan kelahiran bintang lagenda, Allahyarham Nordin Ahmad di Kampung Kota di daerah Seberang Prai Tengah (SPT), di sini siapa sangka terdapat sebuah gerai menjual laksa yang diusahakan pasangan anak beranak di
mana lokasinya hampir terletak di ceruk kampung.

Uniknya, pasangan anak beranak, Noor Iryani Md Said,23 dan ibunya, Salmah Desa,40-an bukan hanya menjual laksa biasa tetapi laksa udang yang rasanya sekali cuba pasti mahu lagi.

Kuah laksanya yang pekat dan terasa isi ikan dengan diletakkan udang masak merah diatasnya membuatkan rasa laksa berkenaan berubah tidak sama seperti laksa yang selalu dirasai ditempat lain.

Noor Iryani, berkata laksa ciptaan ibunya itu adalah sama seperti yang dimasak ahli keluarganya dan ia sudah seperti resepi turun temurun keluarga hingga membuatkan dia mengajak ibunya untuk berniaga.

Ais Kacang

Katanya, walaupun baru sahaja mengusahakan perniagaan laksa udang dengan menjenamakan laksa berkenaan sebagai 'Laksa Udang Iryani' selama sebulan, promosinya melalui laman sosial Facebook ternyata tidak sia-sia apabila
banyak pelanggan datang berkunjung ke gerainya.

"Saya memang minat berniaga dan selepas mencuba banyak perniagaan, saya mengajak ibu untuk berniaga laksa udang ini secara suka-suka tetapi tidak sangka mendapat sambutan walaupun kami baru sahaja berniaga.



"Pelanggan yang datang juga bukan hanya dari orang kampung tetapi orang luar hinggakan terdapat juga pelanggan dari bahagian Pulau selepas tertarik dengan promosi yang saya letakkan di dalam Facebook," katanya ketika ditemui
baru-baru ini.

Berkonsepkan gerai khemah di dalam kampung, Noor Iryani berkata, dia dan ibunya sedang merancang untuk memperluaskannya ke sebuah kedai dengan membina lot parkir bagi memudahkan pelanggannya meletakkan kenderaan.

"Kami akan melakukannya satu persatu untuk perancangan masa depan dalam menaikkan lagi perniagaan laksa udang ini di masa depan.

Laici Kang

"Antaranya, kami merancang untuk membuat kedai dan membina tempat parkir kereta supaya pelanggan dari luar selesa meletakkan kenderaan sekali gus tidak mengganggu persekitaran penduduk dalam kampung ini," katanya.

Selain laksa udang, gerai berkenaan turut menjual ais kacang, laici kang, cucur udang dan rojak yang boleh dikatakan makanan wajib yang perlu ada bagi peniaga yang menjual laksa.

Seorang jururawat, Nurhayati Muhammad,27 berkata keenakan Laksa Udang Iryani seperti tiada tandingannya kerana bukan sahaja rasa kuah laksanya yang pekat tetapi kemanisan yang terdapat pada udang masak merah hingga membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya pasti kecur air liur.

"Saya seolah-olah ketagih apabila menjamah laksa udangnya hingga sanggup datang merasainya setiap hari dan tidak pula berasa muak seperti laksa yang dijual ditempat lain.

"Jadi, apabila terasa teringin makan laksa, sudah pasti saya dan rakan-rakan akan terus ke sini kerana tahu rasanya setiap hari tidak pernah menghampakan pelanggan tetapnya," katanya.

Laksa Udang Iryani dijual dengan harga RM5 manakala laksa telur RM3 dan laksa biasa dijual dengan harga RM2.50.

Gerai Laksa Udang Iryani beroperasi pada setiap hari kecuali Sabtu bermula jam 2.30 hingga 7 petang.


Info ke lokasi :
-Dari Plaza Tol Sungai Dua Arah Selatan.
-Keluar dari plaza tol dan susur keluar ke kiri untuk ke Pekan Sungai Dua.
-Teruskan perjalanan hingga menemui papan tanda Kampung Kota dan masuk ke kiri.
-Kemudian lihat di sebelah kiri anda akan ternampak sebuah gerai yang menempatkan khemah biru yang mana Laksa Udang Iryani dijual
Previous
Next Post »
widgets
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :