Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg baru-baru ini telah mengumumkan cuti dua bulan untuk menjaga isterinya bersalin. Selepas seminggu mengumumkan cutinya untuk bersama isterinya , kini syarikat gergasi sosial media itu telah memperluaskan dasar cuti keluarga bersalin kepada semua kakitangan tetapnya di seluruh dunia.
Dasar itu membolehkan mereka yang memperoleh cuti selama empat bulan akan turut menerima gaji atau lebih dikenali sebagai cuti bergaji (PTO) bagi semua kakitangan yang akan menyambut kelahiran anak mereka tanpa mengikut gender bermula 1 Januari tahun hadapan. Suami dan kakitangan boleh mengambil cuti pada bila-bila masa atau dalam tempoh setahun kelahiran bayi.
Perkara itu telah disahkan sendiri oleh pengurus Jabatan Sumber Manusia, Lori Matloff Goler, dalam post terkininya di Facebook, hari ini. Facebook ketika ini hanya menawarkan cuti bergaji sehingga empat bulan kepada kakitangannya yang berpangkalan di Amerika Syarikat. "Kami mahu mereka semua menikmatinya, tidak kira peringkat kehidupan dan kami mahu mengutamakan tempat bekerja yang sesuai untuk mereka yang berkeluarga.
"Bahagian paling pentinh ialah menawarkan mereka cuti bergaji sempena mendapat bayi atau cuti keibubapaan," katanya. Dasar baharu itu secara asasnya dapat membantu seseorang ayah atau pekerja di luar Amerika dan ia tidak mengubah kepada cuti bersalin kepada wanita yang dinikmati semua pekerjanya di seluruh dunia.