Restoran yang menawarkan jenis masakan ala barat memang terlalu banyak hingga kita sukar membuat pilihan namun untuk mencari restoran yang masakan ala baratnya yang menepati citarasa dan selera agak sukar ditemui.
Ini dapat dilihat melalui ragam pengunjung yang mana ada sekali cuba tidak lagi bertandang dan ada sekali cuba terlalu kerap bertandang kerana masakan yang ditawarkan restoran berkenaan sudah menambat hati mereka.
Bercakap soal restoran yang menawarkan masakan ala barat ini, Penduduk sekitar Kepala Batas Pulau Pinang pasti akan mengesyorkan restoran Bertamlicious antara senarai restoran terbaik dalam kesemua menu masakan barat yang terdapat di situ.
Mana tidaknya, restoran yang terletak di Pusat Bandar Bertam Perdana yang baru sahaja bertapak tidak sampai setahun kini mula dikenali ramai bahkan turut dikunjungi golongan selebriti tanahair.
Hanya berbekalkan pengalamannya sebagai tukang masak di sebuah restoran dekat Kuala Lumpur hampir 10 tahun, pemilik restoran berkenaan cukup terkejut dengan sambutan hangat yang diterimanya selepas membuka restoran itu secara rasmi Julai tahun lalu.
Muhammad Hanif Arshad,28 yang berkongsi perniagaan dengan abangnya, Hayazi Arshad,36 kini turut memiliki lebih 30 pekerja untuk memantapkan pengendalian restoran yang beroperasi setiap hari bermula jam 12 tengah hari hingga 4 pagi.
Pemilik yang mesra disapa dengan panggilan Hanif berkata, selepas penat untuk bekerja makan gaji, beliau menggunakan kepakaran dan pengalamannya sebagai tukang masak untuk membuka sebuah restoran.
Ternyata permulaan anak tempatan yang berasal dari Bumbung Lima dekat sini berhasil apabila perkongsiannya bersama abangnya menjadi bahkan restoran itu boleh dianggap semakin popular dalam kalangan masyarakat di utara Semenanjung Malaysia.
Apatah lagi, pembukaan restoran itu juga hasil perkongsian modal bersama abangnya yang mana dia langsung tidak membuat pinjaman dan hanya menggunakan wang gajinya sebagai tukang masak yang dikumpul kerana tekadnya yang ingin memiliki restoran milik sendiri.
"Saya tidak belajar tinggi kerana sebaik menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya mengambil keputusan untuk bekerja di Kuala Lumpur.
"Pada permulaannya, saya hanya diambil bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk dan lama kelamaan pemilik restoran tempat saya bekerja memberi kepercayaan kepada saya hingga saya menjadi tukang masak di restoran itu," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Melalui pengalaman yang bermula di peringkat bawah itu memberi semangat kepada Hanif untuk menjalankan perniagaan sendiri apabila tertubuhnya Bertamlicious.
Berkonsepkan restoran luar pintu apabila kesemua susun atur kerusi dan meja diletakkan di bahagian luar restoran, Hanif berkata makanan ala barat antara menu yang sering mendapat tempahan tinggi daripada pelanggan.
"Kami menjual pelbagai jenis masakan akan tetapi menekankan masakan ala barat memandangkan pelanggan kami lebih mengenali restoran ini dengan makanan barat.
"Antara menu ala barat yang kerap ditempah adalah Burger Bakar dengan konsep pelbagai rasa dan dekorasi burger yang unik, Lamb Shrank, Chicken Chop dan Nasi Goreng Lamb Licious campuran Melayu dan Barat yang mana harganya sangat berpatutan," katanya.
Menurutnya, kesemua menu yang ditawarkan dijual dalam lingkungan harga dari RM6 hingga RM32.
Hanif berkata, beliau juga kini sedang dalam perancangan untuk menambah menu lain dari semasa ke semasa untuk menawarkan lebih makanan dan masakan yang menepati citarasa pelanggannya.
"Bagaimanapun, setakat ini saya dan abang memberi tumpuan terlebih dahulu pada menu sekarang kerana kami baru saja bermula dan perlu banyak belajar memahami apa masakan yang diinginkan pelanggan.
"Berdasarkan reaksi pelanggan kami dalam tempoh percubaan ini ia amat memberangsangkan bahkan tidak pernah langsung terfikir akan dikunjungi ratusan pelanggan setiap hari serta mempunyai pelanggan setia tidak kira waktu," katanya.
Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Nor Nadia Mohd Dali,25 berkata pertama kali berkunjung ke restoran itu selepas dimaklumkan rakan sepejabatnya, dia sudah tertambat dengan masakan yang disediakan.
"Rasa kuah dan sos ditambah dengan cara masakan seperti ada rahsia kerana rasanya tidak sama seperti masakan barat yang disediakan di restoran lain.
"Sejak dari itu, saya sudah mula tertarik dengan restoran ini dan menjadikannya restoran yang patut dikunjungi sekiranya berkunjung ke Kepala Batas," katanya.