Ditengah panas matahari terik tekak pula mula terasa haus apatah lagi sudah penat berjalan menyelusuri keindahan Pantai Merdeka yang bangkit selepas fenomena tsunami sepuluh tahun lalu.
Kejadian tsunami yang menimpa Kota Kuala Muda, Kedah yang berdekatan dengan Pantai Merdeka membuatkan pantai berkenaan dibangunkan tebing bagi dijadikan benteng sekiranya kejadian itu berulang.
Akibatnya, keindahan pantai itu berkurangan kerana tiada lagi pantai berpasir yang luas dan pokok rhu yang boleh dijadikan tempat perkelahan dan berteduh.
Bagaimanapun, pengunjung yang sering ke sana masih dapat merasai keindahannya walaupun hanya melihat dari jauh dan apa yang paling penting lambakan pengunjung ke sana adalah semata-mata ingin menikmati Ais Kacang Gunung Jerai.
Mendengarnya pun sudah membuatkan sesiapa sahaja terliur dan ingin turut merasainya bagi menghilangkan rasa haus dan panas badan selepas bersiar-siar.
Ketika penulis berkunjung ke sana bersama beberapa teman, terdapat beberapa gerai yang menjual ais kacang berkenaan dengan pelbagai cara dan teknik bagi menarik pelanggan untuk singgah merasai ais kacang yang dihasilkan mereka.
Menurut seorang daripada rakan penulis, ais kacang yang dijual memiliki pelbagai rasa dan pelanggan perlu bijak memilih supaya citarasa ais kacang itu sesuai dengan apa yang dihajati mereka.
Katanya, beliau yang sudah banyak bertandang sudah merasai kepelbagaian Ais Kacang Gunung Jerai di sini hingga menjadi peminat ais kacang sekiranya berkunjung pada masa akan datang.
"Di Pantai Merdeka ini, tarikan utamanya adalah ais kacang dan mi namun saya lebih memilih ais kacang kerana amatlah rugi sekiranya sesiapa yang bertandang tidak merasai keenakan Ais Kacang Gunung Jerai ini.
"Ais Kacang Gunung Jerai ini bukanlah sesuatu yang istimewa tetapi ia sudah menjadi perkara wajib untuk sesiapa sahaja yang bertandang pasti ais kacang ini juga yang dicari," katanya.
Kakitangan kerajaan, Alifah Ahmad,25, berkata Ais Kacang Gunung Jerai atau lebih popular dengan nama Ais Kacang Kon kerana diletakkan Kon Aiskrim diatasnya hanya ais kacang biasa yang boleh didapati di mana-mana sahaja.
Ini kerana, bahan-bahannya sama seperti ais kacang yang berada di kedai lain yang menggunakan air gula merah, sirap dan susu sebagai bahan utama.
Namun, kerana saiznya yang besar dan tinggi dengan diletakkan kon aiskrim membuatkan sesiapa yang berkunjung ke Pantai Merdeka ini pasti akan tertarik dan rugi sekiranya tidak merasai kenikmatan ais kacang berkenaan.
"Ais kacang ini kadang-kadang buat orang menjadi ketagih kerana setiap kali datang ke sini perkara pertama yang terlintas hanya ingin menikmati ais kacang yang ada di sini.
"Sesuai jugalah dengan keadaan cuaca di pantai yang panas dan redup hingga membuatkan kenikmatan merasai ais kacang ini terasa terutamanya ketika tekak sangat haus," katanya.
Ais Kacang Gunung Jerai dijual antara harga RM5 bagi ais kacang biasa dan RM6 bagi ais kacang istimewa.