Skuad bola sepak bawah 13 tahun negara yang dikenali NFDP Malaysia B13 telah menjuarai kejohanan Ibercup Costa del Sol apabila menumbangkan akademi terkuat dari Portugal, Sporting CP, 2-1, pada final di Kompleks Sukan Munoz Perez, Marbella, Sepanyol, petang tadi mengikut waktu Malaysia.
Ayam tambatan pasukan negara Luqman Hakim Samsudin dan Mohd Hariz Mansor muncul wira pasukan selepas masing-masing meledak satu jaringan, pada minit ke-12 dan 48.
Skuad muda negara itu menghampakan lawan yang diletakkan selaku pasukan pilihan pada aksi final itu.
Sebelum ini, skuad kendalian Lim Teong Kim mara ke pentas final selepas mengenepikan tentangan sengit Sevilla FC di separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti 7-6, yang memihak kepada Malaysia apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0, dalam masa sebenar.
Skuad b13 negara juga tidak sesekali tertekan walaupun dilaporkan akademi dari Atletico Madrid tidak memberi layanan yang baik kepada mereka kerana tewas 1-0 tempoh hari.
Lebih membanggakan, skuad b13 tidak pernah tewas dalam siri jelajah perlawanan di Eropah serta kejohanan Ibercup dan hanya bolos 1 gol dalam kejohanan tersebut.
Berdasarkan rangka jadual yang disusun, selepas ini pasukan negara akan diterbangkan ke Portugal bagi mengharungi Piala Iber Estoril. Kejohanan tersebut dilaporkan bakal bermula pada 30 Jun hingga 5 Julai.