Kota Bahru : Seorang kanak-kanak yang baru berusia lima tahun yang dilaporkan didera baru-baru ini, terpaksa dibedah untuk mengatasi usus berpintal. Zuliana Zaara Zulkifli atau lebih dikenali yaya terpaksa menanggung kesakitan tersebut apabila dipukul oleh Ibu tirinya sehingga menyebabkan usus kecil yaya berpintal.
Menurut Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan, masalah tersebut dikenali sebagai ‘intussusception’ dan jika dibiarkan boleh menyebabkan usus mangsa tersumbat lalu pecah.
“Pembedahan bermula pukul 10.30 pagi ini dan berakhir kira-kira sejam kemudian. Pesakit selamat menjalaninya dan dilaporkan stabil namun dalam tempoh 24 jam berikut, dia tidak boleh makan.
“Setakat ini, kita tidak benarkan pesakit menerima sebarang pelawat termasuk keluarga sendiri. Hanya ibu kandungnya dibenarkan berjumpa pesakit,” katanya dalam sidang akhbar di HRPZ II, di sini hari ini.
Dr. Ghazali Hasni memberitahu, bahagian usus mangsa yang bermasalah dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga hari. Selain itu katanya, Nur Zuliana Zaara juga mungkin mengambil masa lebih lama daripada sepatutnya untuk pulih daripada kecederaan tulang, iaitu sehingga enam bulan berikutan badan kanak-kanak itu kekurangan nutrisi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Mohamad Hanafi Maulud berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah hak penjagaan sementara sebaik sahaja Nur Zuliana Zaara selesai menjalani rawatan di HRPZ II. Bagaimanapun katanya, hak penjagaan kekal mangsa akan tetap diserahkan kepada ibu kandungnya
“Setakat ini kita lihat hanya ibu kandung mangsa sahaja yang layak untuk hak penjagaan dan dia sendiri menyatakan kesediaan menjaga kanak-kanak itu.
“Pihak JKM juga mengarahkan pegawai melakukan sesi kaunseling kepada mangsa dan ibu kandungnya di samping membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk mengetahui perkembangan mereka,” katanya.Utusan