Jabatan Meteorologi menyatakan kejadian suhu yang meningkat ini adalah perkara biasa namun, ia tidak seharusnya dipandang remeh kerana pada cuaca suhu tinggi dan kering, kebakaran sama ada di kawasan hutan, kawasan lapang atau sebagainya mudah berlaku jika tiada kawalan dan menyebabkan masalah lain.
Bagaimanapun, petanda buruk terhadap suhu cuaca panas seperti kemarau panjang pada ketika ini belum dapat dilihat dengan jelas kerana perubahan cuaca melampau sejak kebelakangan ini.
Lebih membimbangkan, panel iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa dunia akan menjadi semakin panas, manakala suhu Bumi dijangka meningkat sehingga 4.8 darjah Celsius pada abad ini.
Panel berkenaan juga menegaskan bahawa gelombang panas, banjir dan paras air laut yang meningkat adalah antara ancaman yang semakin kerap melanda dengan 95 peratus panel berkenaan yakin bahawa manusia adalah punca pemanasan global berdasarkan pemerhatian sejak 60 tahun lalu.
Orang ramai sangat digalakkan untuk menanam pokok di sekitar rumah masing-masing kerana Sebatang pokok boleh menyerap satu tan karbon dioksida sepanjang hidupnya.Keadaan ini sekali gus mengurangkan sedikit suhu panas yang berlaku di bumi.