Penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada pukul 12.41 pagi menuju Beijing dengan 227 penumpang dan 12 orang anak kapal.
MH370 adalah penerbangan perkongsian kod dengan China Southern Airlines.
Pesawat jenis Boeing 777-200 ER itu dipandu oleh juruterbang veteran, Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Penumpangnya terdiri daripada 153 warga China, 38 (Malaysia), 12 (Indonesia), enam (Australia), tiga (Perancis), empat (Amerika), dua (Ukraine), dua (New Zealand), dua (Kanada), dan masing-masing seorang dari Rusia, Taiwan, Itali, Belanda dan Austria.
Dilaporkan pesawat itu bergerak diudara tidak sampai satu jam , ketika pesawat itu menghampiri Igari Waypoint di mana ia akan diserahkan kepada kawalan trafik udara Ho Chi Minh City, ia hilang daripada skrin radar.
"Good night Malaysian three seven zero" adalah perkataan terakhir datang daripada kokpit. Tidak ada isyarat kecemasan dipancarkan.
Kapal terbang itu kemudiannya dikesan oleh radar tentera Malaysia apabila ia melencong dari laluan penerbangannya dan melintasi Semenanjung Malaysia dan menghala ke Laut Andaman.
Ping komunikasi antara pesawat dan rangkaian satelit membuat rumusan pesawat itu terus terbang sehingga pukul 8.19 pagi ke arah selatan Lautan Hindi.
Bagaimanapun, lokasi sebenar masih belum dapat ditentukan.
Gerakan mencari yang melibatkan banyak negara dikerahkan tetapi tidak berhasil. Australia mengetuai peringkat kedua gerakan mencari pesawat MH370 dan kosnya dilaporkan semakin melambung.
Malaysia terus komited dalam carian penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang tepat setahun yang lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Malaysia terus komited untuk mencari dan berharap MH370 akan ditemui," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.
Najib turut melahirkan rasa simpati atas kejadian itu sambil menambah bahawa ini telah menjadi insiden yang paling kompleks dalam sejarah penerbangan.
"Hari ini, kita bersatu dalam mengingati dan menghormati 239 orang, termasuk 50 rakyat Malaysia di dalam pesawat MH370. Doa kami bersama mereka dan orang tersayang.
"Kehilangan MH370 dan misi pencarian – adalah insiden yang paling kompleks dan mencabar dari segi teknikal dalam sejarah penerbangan," kata Najib.
Selain itu, beliau turut melahirkan terima kasih kepada pasukan antarabangsa yang terlibat dalam misi mencari pesawat.
"Malaysia telah mengumpul satu pasukan antarabangsa yang besar untuk mencari pesawat, dan kami tidak akan lupa dedikasi mereka yang membantu. Kepada lelaki dan wanita yang terus bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk mencari lokasi terakhir MH370 itu - Terima kasih, " kata Najib.
Hari ini, satu dunia memperingati tepat setahun kehilangan pesawat MH370.
Boeing 777-200ER membawa 239 penumpang, kebanyakannya daripada China, dan anak kapal, dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6:30 pagi. Ia dipercayai telah berakhir di Lautan Hindi.
Jabatan Penerbangan Awam pada 29 Jan mengumumkan penerbangan MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal telah dianggap telah kehilangan nyawa mereka.