.

Label harga barang perlu dipamerkan selepas GST


KUALA LUMPUR: Bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa penipuan, kerajaan perlu mewajibkan peniaga melabelkan kesemua barangan sama ada yang dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau yang tidak.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata label tersebut perlu diletakkan pada tanda harga yang dipamerkan.

"Ia untuk kemudahan pengguna, contohnya pada tanda harga setiap barangan yang dikenakan cukai itu harus diletakkan harga sebelum dan selepas CBP (GST)," katanya ketika dihubungi Bernama.

Namun Mohd Yusof berkata, perkara mengenai GST bukan hanya terletak di bahu peniaga sebaliknya pengguna terlebih dahulu perlu merujuk kepada buku 'Panduan Harga Pengguna' yang telah diterbitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bersama Kementerian Kewangan.

Sebanyak dua juta naskhah telah diedarkan sejak Januari lepas yang menyenaraikan 500 barangan terpilih yang dikenakan GST.

Buku tersebut boleh didapati di setiap pejabat negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Selain itu, Mohd Yusof berkata pengguna perlu membiasakan diri menyemak semula harga pada resit pembelian dengan harga yang ditetapkan di dalam buku tersebut.

"Pengguna perlu sentiasa alert (waspada) dengan harga semasa, harga yang dipamerkan oleh peniaga dan harga yang tertera pada resit, supaya peniaga tidak mempunyai ruang untuk memanipulasi harga," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Mohd Roslan Mahayuddin berkata pihaknya sentiasa mengharapkan aduan daripada orang ramai jika terdapat salah laku peniaga berhubung GST.

"Setiap aduan yang kita terima kita akan membuat pemeriksaan dan jika didapati peniaga melanggar Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011 akan dikenakan tindakan," katanya.

Di bawah akta tersebut sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk orang perseorangan, manakala untuk syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

Sebelum ini, Menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan satu sistem aplikasi telefon pintar iaitu 'EZ Complaint' bakal dilaksanakan bulan hadapan bagi pengguna menyalurkan aduan berkaitan GST.

"Aplikasi itu membolehkan pengguna menyalurkan aduan mereka dalam bentuk gambar sebagai bukti terus ke sistem E-Aduan," katanya.- Astro Awani
Previous
Next Post »
widgets
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :