.

Penyokong Pahang janji tidak balas dendam




Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah memberi jaminan bahawa penyokong Tok Gajah tidak akan membuat sesuatu ke atas penyokong Johor Darul Ta’zim (Johor DT) gara-gara kain rentang menghina Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada aksi Sumbangsih, Sabtu lalu.

Tengku Abdul Rahman yakin peyokong Pahang lebih matang dan profesional sambil mengamalkan budaya masyarakat bersopan santun. Beliau mengaku sedih dengan tindakan memaparkan kain rentang gergasi anjing memakai sut dengan lambang FAM ketika beberapa minit perlawanan berlangsung. Tengku juga berasa tidak senang dengan tindakan penyokong berkenaan kerana ia memaparkan ciri-ciri yang tidak baik kepada pihak luar yang menonton.

Tengku juga menasihati agar penonton yang hadir perlulah menjaga adab yang juga telah diajar semenjak kecil oleh ibu bapa dan guru. “Apa yang mereka lakukan menggambarkan fikiran negatif dan tingkah laku yang tidak boleh menjadi contoh kepada orang lain,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada mangsa dari Kampung Kuching, Kampung Gusai, Kampung Mat Daling dan Kampung Bantal di Ulu Tembeling, semalam Turut hadir Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris.

Tengku Abdul Rahman berkata, rakyat Malaysia perlu mengamalkan aktiviti sukan secara sihat dan semangat kesukanan tinggi serta tidak melakukan tindakan biadab hingga memburukkan diri sendiri dan imej negara. “Tindakan itu juga menggambarkan pemikiran kebudak-budakan dan jika terus diamalkan masyarakat kita, ia tidak akan membantu ke arah sebuah negara beradab dan maju,” katanya. Beliau memandang serius tindakan itu dan berharap mereka yang terbabit menyesal dan menyedari apa dilakukan tidak wajar.

 Walaupun kumpulan penyokong itu akan menerima hukuman pihak berkuasa, yang penting mereka perlu sedar perbuatan itu tidak melambangkan budaya masyarakat sebenar. Tengku Abdul Rahman yakin penyokong Pahang akan melayan penyokong dan pasukan Johor DT dengan baik apabila bertandang ke Kuantan kelak.
Previous
Next Post »
widgets
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :