sumber : |
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bahan pembungkus seperti plastik (lutsinar) atau daun pisang perlu digunakan sebagai lapisan pertama yang bersih dan bebas kotoran serta pencemaran.
Katanya, ini bagi melindungi sepenuhnya makanan itu daripada bersentuhan secara langsung dengan kertas surat khabar. "Pembungkusan makanan sedia dimakan dengan surat khabar sebagai lapisan kedua hendaklah dikendalikan dengan kaedah yang dapat mengelakkan pencemaran dakwat daripada kertas surat khabar kepada makanan itu melalui apa jua cara.
"Contohnya, pencemaran boleh terjadi melalui tangan pengendali makanan yang sudah menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudiannya menyentuh makanan sedia dimakan secara langsung. "Kertas surat khabar hendaklah tidak digunakan bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan seperti untuk menutup makanan atau menyerap minyak daripada makanan bergoreng," katanya.
Beliau berkata, aduan boleh dibuat kepada Kementerian Kesihatan sekiranya pengguna mendapati mana-mana pengendali makanan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan itu. Pengguna boleh membuat aduan melalui Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau Facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.