.

Restoran ala-ala Bunian di Kampung Tok Bidan


Keunikan restoran yang terletak betul-betul di hujung kampung dan sunyi menyebabkan kebanyakan pelanggan menggelarkannya sebagai restoran berpuaka yang seolah-olah berada di alam bunian.

Namun percaya atau tidak, Restoran Pak Syed Hujung Kampung yang diusahakan tiga adik beradik sejak 2008 di Permatang Tok Bidan, Kepala Batas di sini mula mendapat ditempat di hati pelanggan dalam dan luar negara.

Menceritakan sejarah awal penubuhannya, Syed Nasrul Nizam Syed Zen,32 berkata dia yang berpengalaman dalam bidang masakan selepas memiliki sijil dalam bidang perhotelan mengajak kedua-dua kakaknya Syarifah Amnah, 42 Syarifah Aini, 38 membuka perniagaan restoran terbabit.

Katanya, sebelum itu, ketiga-tiga mereka mengusahakan perniagaan katering perkahwinan kemudian menjadikan perniagaan restoran itu sebagai perniagaan sampingan untuk menambah pendapatan.

"Bagaimanapun, selepas seminggu saja restoran ini di buka, kami terkejut apabila menerima reaksi pelanggan yang begitu teruja mengenai restoran ini walhal tidak pernah sekali pun mempromosikan restoran ini kepada sesiapa melainkan penduduk di dalam kampung ini.

"Lebih terkejut apabila kami menerima pelanggan luar dari negeri ini bahkan luar negara yang tahu lokasi restoran ini yang betul-betul terletak di hujung kampung dan sesiapa yang memasukinya pasti tidak akan percaya mengenai kewujudan restoran ini," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Kakaknya, Syarifah Amnah berkata, pelanggan yang pertama kali menjejakkan kaki ke restoran mereka pasti akan menjadi pelanggan tetap walaupun pada mulanya berasa takut untuk memasuki kawasan kampung itu untuk ke restoran mereka.

"Sudah banyak pelanggan menggelarkan restoran ini berhantu, seperti berada di alam bunian dan sebagainya namun tanggapan itu berubah apabila mereka mula merasai makanan di sini serta menjadi pelanggan tetap hingga membawa rakan mereka yang lain berkunjung ke sini," katanya.

Jelasnya, pelanggan yang mengetahui mengenai keberadaan restoran itu kebanyakan dari percakapan mulut ke mulut kerana mereka langsung tidak mempromosikan restoran itu di internet.



"Kami mendapat pelanggan semuanya dari percakapan mulut ke mulut kerana tidak pernah membuat promosi di internet.

"Tetapi ada juga pelanggan yang teruja datang ke sini mengambil gambar dan memuat naik di laman web yang mana secara tidak langsung mempromosikan restoran kami kepada khalayak ramai di seluruh malaysia," katanya.

Antara menu menarik yang sering menjadi kegilaan pelanggan ketika berkunjung ke restoran berkenaan adalah Chicken Chop Black Pepper, Spicy Fried Chicken, Lamb Chop,Makanan Bergoreng dan terbaru Chicken Chop Frozen dan Pocket Chicken dengan harga berpatutan antara RM3.50 ke RM16.00.

Menurut Syarifah Aini pula, dia yang berpengalaman dalam perniagaan makanan selepas mengusahakan restoran makanan di Setapak, Kuala Lumpur , berkata aspek harga dan kualiti makanan menjadi penambat pelanggan untuk terus berkunjung ke restoran itu.

Sementara itu, kakitangan swasta, Hanin Ismail,24, berkata dia yang pertama kali menjejakkan kaki ke restoran berkenaan selepas diajak rakannya terkejut apabila restoran itu sebenarnya memang wujud dan bukan mitos.

"Sudah beberapa kali rakan saya mengajak datang makan di sini tetapi saya buat endah tak. endah hinggalah hari ini apabila dia bawa saya ke sini terus buat saya teruja dan akan ke sini lagi bersama keluarga.


"Pertama kali untuk masuk ke sini, saya sudah seperti nak patah semula tetapi bila dah sampai rasa mahu datang lagi,"katanya.

Bagi pelajar sekolah, Ilah Mohd Syakir,18 berkata restoran itu sudah dijadikan seperti tempat utama baginya mencari hidangan ala barat kerana keenakan rasa yang ditonjolkan restoran berkenaan lain dari lain apatah lagi suasana restoran yang menggamit pelanggan walaupun ia terletak di hujung kampung.

"Rumah saya dengan restoran ini agak dekat dan disebabkan itu saya kerap datang ke sini untuk makan bersama keluarga kerana menyukai makanan ala barat yang sosnya agak lain dari lain.

"Selain itu, saya juga sangat sukakan suasana tempat makan di sini yang tidak bising dan mendamaikan kerana ia di hujung kampung dan jauh dari hiruk pikuk bandar," katanya.

Bagi mereka yang ingin mencuba dan merasai keunikan makanan di restoran yang beroperasi dari jam 6 petang hingga 1 pagi itu boleh menghubungi talian 012-4458995 dan 016-4039912 untuk membuat tempahan.



Info
-Restoran Pak Syed Hujung Kampung, Permatang Tok Bidan, Kepala Batas
-beroperasi dari jam 6petang hingga 1 pagi setiap hari kecuali Ahad
-diusahakan tiga adik beradik yang berpengalaman dalam bidang masakan dan perniagaan.
-penduduk dan pelanggan sering menggelarkan sebagai restoran alam bunian
Previous
Next Post »
widgets
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :