Manchester City dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat Lionel Messi berikutan lampu hijau yang diberikan oleh pengurus Bayern Munich Pep Guardiola. Pemain Terbaik Dunia empat kali, Lionel Messi memberi peluang kepada mana-mana kelab Liga Perdana Inggeris untuk menyambarnya, namun dengan satu syarat, ditawarkan gaji lumayan 600,000 pound (RM4 juta) seminggu. Walau bagaimanapun kelab kaya raya Manchester City sanggup membayar lebih dari itu, iaitu hampir 800,000 pound (RM 5.12 juta) seminggu.
Bintang penyerang Argentina itu kini mula mempertimbangkan mengenai peluang untuk berpindah ke England selepas terus berdepan masalah dengan pihak berkuasa Sepanyol mengenai cukai.
Bagaimanapun, gaji tinggi yang dituntut oleh pemain berusia 28 tahun itu bermakna hanya kelab yang memiliki bajet besar seperti Manchester City, Chelsea, Manchester United dan Arsenal mampu mendapatkan sentuhannya.
Sementara itu, menurut akhbar Britain, Daily Star, Messi berminat untuk menyertai kelab London, Arsenal sekiranya dia memutuskan untuk meninggalkan Barcelona, kelab yang diwakili sejak kanak-kanak.
Namun, untuk memastikan perpindahan itu menjadi kenyataan, dia perlu mengikat perjanjian bernilai 18 juta pound (RM120 juta) setahun tidak termasuk cukai, dan ia bersamaan dengan 600,000 pound seminggu sebelum dipotong. Manakala Manchester City menawarkan hampir 40 juta pound (RM250 juta) setahun.
Ketika ini, Messi menerima gaji bersih 14 juta pound setahun (RM93 juta) daripada Barcelona, namun klausa jual-beli bintang Argentina itu mampu mencecah 175 juta pound (RM1.16 bilion).
Messi menyertai Barcelona pada 2001, dan sebelum ini dia pernah menyuarakan hasrat untuk bersara di kelab Catalan itu.
Messi dikhabarkan sudah kurang berminat berada di Sepanyol berikutan campur tangan pihak berkuasa tempatan dan didakwa atas kesalahan memalsukan cukai bernilai 3 juta pound (RM20 juta) yang diuruskan oleh bapanya, Jorge.
Gangguan itu sedikit sebanyak menghilangkan rasa minatnya untuk terus berbakti terhadap pasukannya sekarang Barcelona.