KUALA LUMPUR: Sembilan peserta yang terdiri daripada enam qari dan tiga qariah memperdengarkan bacaan mereka pada malam keempat Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-57 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.
Mereka terdiri daripada Mensur Malkic dari Bosnia dan Herzegovina, Awangku Muhd Abidul Amin Pengiran Marjuki (Brunei), Asrina Asril Buyong (Indonesia), Brahim Medjahed (Algeria).
Saidzhon Abdulloev (Tajikistan), Sameeha Talohding (Thailand), Omer Omanovic (Croatia), Sa Lay Mal Abd Halim (Vietnam) dan Ayse Elif Apuhan (Turki).
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha yang juga pengerusi jemaah hakim berkata sistem penghakiman dan pemberian markah yang dibangunkan jabatan itu bagi majlis tilawah dan hafazan diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Bercakap kepada pemberita, beliau berkata model yang digunakan dalam menilai para peserta kini dijadikan panduan oleh pelbagai negara bagi penganjuran acara seumpama itu di negara masing-masing.
"Pada peringkat awal mereka tidak boleh hendak sesuaikan tapi selepas mereka menilai sendiri sistem yang kita bina, mereka boleh ikut rentak dan sehingga kini kita terus dapat penghargaan dari negara luar," katanya.
- BERNAMA