.

Perdana Menteri Singapura guna alat sokongan hayat


SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, 91, sedang menjalani rawatan menggunakan alat sokongan hayat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital, kata kerajaan negara itu, hari ini.

Bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil.

Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan Lee dimasukkan ke Hospital Besar Singapura pada 5 Februari lalu selepas menghidap penyakit radang paru-paru yang kritikal.

"Keadaannya stabil dan dia masih menggunakan alat sokongan hayat di ICU. Dia sudah sedar dan dilihat tenang. Doktor akan terus memantau keadaannya," kata kenyataan itu.

Lee, bapa kepada Perdana Menteri sekarang, Lee Hsien Loong, ketika pemerintahannya berjaya mengubah Singapura daripada ekonomi yang mundur menjadi antara negara terkaya di Asia dalam tempoh tiga dekad.

Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri bermula 1959 apabila Singapura mencapai pemerintahan sendiri dan bebas daripada pemerintahan kolonial British sehingga meletak jawatan pada 1990, kemudian diganti timbalannya Goh Chok Tong dan menyerahkan semula kuasa itu kepada Hsien Loong pada 2004.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diasaskan Lee masih berkuasa pada setiap pilihan raya negara itu sejak tahun 1959 dan kini menguasai 80 daripada 87 kerusi di Parlimen. -AFP
Previous
Next Post »
widgets
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :