KUALA LIPIS - Seorang bapa terkilan kerana gagal menyelamatkan anak perempuannya yang terperangkap dalam kebakaran rumah kongsi yang didiami mereka di Desa Jeram Batu di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mayat Nur Ain Nadira, 8, ditemui rentung di dalam bilik di bahagian belakang rumah berkenaan.
Menurut bapa mangsa, Roslan Abdul Rahman, 44, dia gagal membawa keluar Nur Ain Nadira, dan hanya sempat menyelamatkan anak keempat, Nur Masitah, 10.
"Ketika kejadian dua beradik itu bersama seorang lagi kakak mereka iaitu Rozitah, 13, tidur manakala Roslan pula tidur dalam van di luar rumah berikutan cuaca panas sebelum dikejutkan bunyi bising.
Tambahnya, dia terkejut apabila melihat api marak membakar rumah papan berkenaan sebelum nekad meredah api bagi menyelamatkan lapan ahli keluarganya.
“Menyedari dua anak perempuan saya yang tidur di bilik belakang tidak muncul saya bertindak menerjah masuk ke dalam rumah dan hanya sempat menarik keluar Nur Masitah sahaja.
“Saya gagal menyelamatkan Nur Ain Nadira yang merupakan anak kelima kerana dia dihempap kayu,” katanya di rumah mayat Hospital Lipis.
Roslan yang bekerja sebagai tukang cuci di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis berkata, dia bersama isteri, Noraini Sulaiman, 39, dan empat anak mereka yang lain serta seorang adik iparnya nyata masih terkejut dan trauma dengan kejadian yang berlaku.
Adik ipar Roslan, Mohd Hamirul Omar, 31, berkata, dia nekad menendang pintu zink di bilik air untuk menyelamatkan diri.
“Ketika kejadian saya sedang tidur sebelum terasa panas dan bunyi hingar-bingar di luar bilik.
“Saya terkejut melihat api marak dengan cepat memakan dinding kayu
sebelum berlari ke bilik air dan menendang pintu zink untuk
menyelamatkan diri,” katanya.
Jiran mangsa yang turut kehilangan rumah, Rosnah Isa, 38, berkata,
kira-kira jam 3.15 pagi dia dikejutkan dengan bunyi jeritan ahli
keluarga Roslan.
“Pada awalnya saya sangka ada ahli keluarga Roslan digigit binatang
berbisa namun rasa tidak sedap hati menyebabkan saya bertindak melihat
melalui tingkap untuk mengetahui kejadian sebenar.
“Saya terkejut apabila rumah jiran telah hampir musnah dijilat api
sebelum bertindak mengejutkan suami dan lapan anak yang sedang nyenyak
tidur untuk keluar dari rumah,” katanya.
Mayat ditemui 20 minit selepas api padam
Ketua Bomba Zon Pahang 3, Shahrulnizam Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 3.21 pagi.
“Api marak dengan begitu cepat dan memusnahkan empat buah rumah dan kebakaran dapat dikawal kira-kira 10 minit kemudian.
"Mayat Nur Ain Nadira yang rentung ditemui 20 minit kemudian di dalam bilik di mana dia bersama dua kakaknya tidur," katanya.
Katanya, pihaknya bertindak pantas mengawal api dari merebak ke lima
buah rumah kayu yang lain yang dibina secara berdekatan dan kebakaran
dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 6 pagi.
Shahrulnizam berkata, anggaran kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kebakaran berkenaan membabitkan 22 mangsa.
Menurutnya, mayat Nur Ain Nadira yang rentung dibawa ke rumah mayat
Hospital Lipis untuk bedah siasat manakala Nur Masitah yang melecur
teruk di bahagian badan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan
lanjut.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Buat sementara ini semua
mangsa selamat tinggal di pusat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Jeram
Batu,” katanya.
sumber:sinar harian
sumber:sinar harian